PRN Johor: BN rakam penghargaan kepada Najib

PRN Johor: BN rakam penghargaan kepada Najib

BARISAN Nasional (BN) menzahirkan kesyukuran atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, dengan pencapaian 40 kerusi sekali gus membentuk majoriti dua pertiga.

Setiausaha BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kemenangan ini menambahkan kesedaran BN untuk terus tawaduk dan bermuhasabah menilai setiap pencapaian dalam kerangka membetulkan kelemahan dan membina kecemerlangan.

“Justeru, Pengerusi Barisan Nasional, barisan pimpinan Dewan Tertinggi BN dan Pengerusi-Pengerusi BN Negeri mengucapkan terima kasih atas sokongan rakyat untuk membina politik kestabilan yang dibawa oleh Barisan Nasional.

“Pihak Dewan Tertinggi BN juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jentera parti yang penuh disiplin dari kalangan parti-parti komponen BN, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Yang Berhormat Datuk Seri Najib Razak, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet BN, Friends of BN serta NGO dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor termasuk Penyelaras Pilihanraya Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad atas komitmen sepanjang tempoh pilihan Raya.

Katanya, BN akan terus melakukan proses perekayasaan politik bagi melaksanakan agenda kestabilan dan kemakmuran negara. – Malaysiapost

Komen