PRN Johor: PAS, PN terima dengan hati lapang – Hadi

PRN Johor: PAS, PN terima dengan hati lapang – Hadi

PAS dan Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati yang lapang, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS dan PN akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi.

“Justeru, PAS mengucapkan terima kasih kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN, khususnya yang dikemukakan oleh PAS.

“Sokongan yang diberikan adalah amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslahatan negeri dan negara,” katanya.

Pada PRN Johor semalam, PN hanya menang di tiga daripada 56 kerusi ditandingi gabungan itu, iaitu di Bukit Kepong, Endau dan Maharani. – Malaysiapost

Komen