Surat Tun M tak ‘laku’ di Johor, PKR hilang aura

Surat Tun M tak ‘laku’ di Johor, PKR hilang aura

Aiman Hanif

ULASAN | Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang melabuhkan tirainya semalam menjadi medan penampilan pertama buat parti-parti baharu dalam arena politik tanah air.

Ada yang menjadikan PRN Johor untuk mencuba nasib, ada juga yang menyertainya sekadar memperkenalkan parti kepada orang ramai.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) antara yang berjaya meraih laba daripada penyertaan buat kali pertama dalam pilihan raya.

Muda yang dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya meraih kemenangan sulung apabila memengani kerusi Puteri Wangsa.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), parti Putra antara muka baharu yang membuat penampilan di PRN Johor.

Pejuang merupakan sebuah parti yang gah dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memasuki gelanggang PRN Johor.

Pejuang merupakan parti kedua diitubuhkan Mahathir selepas beliau meninggalkan Umno dan bermusuh dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jika berdasarkan pengaruh Mahathir yang berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pastinya ia tidak sukar untuk parti itu memenangi kerusi dalam PRN Johor.

Malangnya, parti itu gagal mencipta kemenangan walaupun satu kerusi berbanding Muda sekurang-kurangnya mencetak satu kemenangan. Pejuang tewas di kesemua 42 kerusi ditandinginya.

Pejuang perlu bermuhasabah dengan kekalahan memalukan ini. Meskipun lima surat dikeluarkan Mahathir dan serangan bertali arus terhadap BN masih gagal menarik sokongan pengundi Johor.

Kegagalan memenangi sebarang kerusi memberi isyarat bahawa pengaruh Mahathir mungkin semakin terhakis dan rakyat tidak lagi mempercayainya.

Ataupun mungkin sentimen Johor terhadap Mahathir yang sebelum ini lantang mengkritik kesultanan Johor serta isu Pulau Batu Putih.

PKR yang tidak mahu menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor ternyata gagal bangkit dan hampir tidak memenangi sebarang kerusi.

Parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal menarik sokongan rakyat berbanding PRU-14 lalu yang mana logo parti itu menjadi taruhan pembangkang untuk menumbangkan BN.

Selepas gagal mencipta kejayaan di PRN Melaka, Anwar membuat keputusan untuk parti itu bertanding menggunakan logo PKR di Johor.

Namun, ternyata logo PKR juga gagal menarik sokongan “bangsa Johor”.

Apakah kerana logo ataupun Anwar yang sudah mula hilang auranya untuk memimpin pakatan pembangkang.- Malaysiapost

Komen