PRN Johor: Malas punca peratusan mengundi rendah

PRN Johor: Malas punca peratusan mengundi rendah

SIKAP malas untuk keluar mengundi antara punca utama peratusan undi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mas Ermieyati Samsuddin berkata pendaftaran secara automatik juga menjadi punca kemerosotan keluar mengundi kerana terdapat pengundi yang sememangnya memasang niat tidak mahu mengundi.

“Orang malas nak keluar mengundi dan mereka yang didaftarkan secara automatik sebelum ini tidak ada rasa nak keluar mengundi.

“Tetapi tiba-tiba mereka dimasukkan sebagai pengundi dan mereka tidak keluar mengundi sebab tidak berhasrat untuk daftar sebagai pengundi.

“Itu salah satu punca mengapa jumlah yang tidak keluar mengundi itu tinggi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH – Ledang) yang ingin tahu mengenai peratusan mengundi yang sangat rendah pada PRN Johor, Sabtu lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan PRN Johor merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah iaitu 54.92 peratus.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, peratusan itu merangkumi 1,426,573 orang daripada jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menjelaskan perkara itu, Mas Ermieyati berkata, peratusan terendah dalam PRN yang diadakan sebelum ini merupakan isyarat yang tidak baik kepada negara.

“Ini amat tidak baik dalam sistem demokrasi dalam negara kita, bila ramai yang tidak mengundi maka keputusan ia sukar untuk dijangka,” katanya lagi. -Malaysiapost

Komen