Kerajaan tak cadang haram perkahwinan bawah umur

Kerajaan tak cadang haram perkahwinan bawah umur

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun memaklumkan kerajaan tidak bercadang mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Namun beliau berkata, kerajaan komited mengekang perkara itu melalui program di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Katanya, perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah menerusi pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.

“Pada masa sama, Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan akan terus memantau pelaksanaan dan perkembangan program yang dirancang,” katanya dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai status terkini pembentangan rancangan mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi membendung eksploitasi kanak-kanak.

Rina berkata, kerajaan bersetuju penetapan had umur berkahwin pada usia 18 tahun adalah tertakluk kepada kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Katanya, cadangan untuk mengadakan sesi perbincangan bersama MAIN akan diperhalusi melalui kerjasama advokasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak berkepentingan, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun negeri supaya lebih prihatin dan bersama menyokong usaha kerajaan dalam menangani perkahwinan bawah umur demi menjamin masa hadapan kanak-kanak,” katanya. – Malaysiapost

Komen