Pemegang saham MySejahtera mohon singkir dua pengarah
SATU lagi isu mengenai aplikasi MySejahtera timbul apabila, Hasrat Budi Sdn Bhd, pemegang saham dan pengendali aplikasi berkenaan dilaporkan memfailkan saman pemula.
Tindakan undang-undang itu diambil terhadap Entomo Malaysia Sdn Bhd, Revolusi Asia Sdn Bhd, MySJ Sdn Bhd serta tiga individu berhubung pertikaian Perjanjian Pemegang Saham.
Hasrat Budi selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Izral Partnership pada 24 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Entomo Malaysia, Revolusi Asia, dan orang utama di dua syarikat itu, R Raveenderen.
Pengarah MySJ Sdn Bhd iaitu Tan Sri Shahril Shamsuddin and Anuar Rozhan serta MySJ juga dinamakan sebagai defendan pertama hingga keenam.
Entomo Malaysia ialah pembangun aplikasi MySejahtera dan sebelum ini dikenali sebagai KPISoft (M) Sdn Bhd.
Ia dimiliki 100 peratus oleh Entomo Pte Ltd, yang berpangkalan di Singapura, dan Raveenderen ialah pengasas serta ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, manakala Anuar ialah pengasas bersama Entomo.
Memetik laporan The Edge Markets, berdasarkan saman pemula, syarikat itu memohon deklarasi menurut Klausa 7.1.1 Perjanjian Pemegang Saham Akta Relief Spesifik 1950.
Plaintif juga memohon Anuar dan Shahril disingkirkan sebagai pengarah syarikat MySJ dan Raveenderen dilantik sebagai pengarah syarikat itu. – Malaysiapost