Bang Chik tertangkap jua

Bang Chik tertangkap jua

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Begitulah terjadi terhadap lelaki dikenali ‘Bang Chik’ yang akhirnya diberkas kerana dipercayai terlibat dalam 23 kes jenayah pecah tabung surau dan masjid sekitar Melaka sejak Januari lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pantai Puteri dalam Op Tabung kira-kira 12.15 tengah malam, 1 April lalu, lapor Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, suspek mengaku melakukan jenayah pecah tabung masjid dan surau melibatkan 16 kes di Melaka Tengah, enam di Alor Gajah serta satu di Jasin.

“Beliau melakukan jenayah itu seorang diri antara 12 tengah malam hingga 5 pagi dan turut mengaku terlibat pecah tabung di beberapa masjid dan surau di Negeri Sembilan.

“Modus operandi kes ini ialah suspek masuk ke dalam masjid atau surau yang kebanyakannya tidak berkunci sebelum memecahkan mangga tabung yang diikat pada tiang,” katanya.

Zainol berkata, siasatan juga mendapati suspek yang tidak bekerja menggunakan duit hasil jenayah untuk perbelanjaan harian, selain membaiki motosikal dan membeli dadah.

Katanya suspek yang ditahan reman sehingga hari ini, turut mempunyai 19 rekod terdiri 13 kes jenayah dan enam rekod dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan denda.

Dalam pada itu, beliau berkata jenayah pecah tabung masjid dan surau meningkat kepada 41 kes dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 17 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan kes berkenaan menunjukkan trend yang membimbangkan bagi jenayah pecah tabung masjid dan surau di Melaka.

“Justeru ‘task force Op Tabung telah ditubuhkan bagi mengesan suspek terlibat sekali gus membanteras jenayah berkenaan daripada terus meningkat,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Berita Harian

Komen