Kos haji 2022 dijangka cecah RM25,000 – TH

Kos haji 2022 dijangka cecah RM25,000 – TH

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menjangka kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 seorang.

Ia susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi, menurut TH menerusi kenyataan hari ini.

Kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada tahun 2019 ialah RM22,900.

Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) yang dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan.

Ini tidak mengambilkira pelbagai peningkatan kos dengan SOP baharu yang akan dilaksanakan tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan.

Kos-kos lain, katanya, termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

Jelasnya, hampir kesemua perkhidmatan itu disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) dan kadar inflasi di sana.

“Selain kos-kos langsung, TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung meliputi kursus-kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas-petugas haji. Jumlah kos tidak langsung ini sahaja mencecah RM60 juta setiap tahun.

“Kos haji yang meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

“TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan. Namun, setakat ini TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama,” katanya.

Syed Saleh menambah, TH mengekalkan kadar bayaran haji RM9,980 sejak 13 tahun lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun.

Katanya, dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji meningkat 16% manakala kos haji pula melonjak 139% disebabkan faktor luar kawalan TH.

“Rekod TH menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” tambah beliau.

Katanya lagi, meskipun ibadat haji ditangguh dua kali akibat Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi.

Menurutnya, bakal haji juga harus membuat persediaan awal dari segi kesihatan dan perbelanjaan haji.

“Pada ketika ini, Kerajaan Arab Saudi masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi Musim 1443H/2022M,” katanya. – Malaysiapost

Komen