‘Malaysia kena bayar RM63 bilion kerana lagak pandai Tommy Thomas’

‘Malaysia kena bayar RM63 bilion kerana lagak pandai Tommy Thomas’

DATUK Seri Najib Razak membidas sikap lagak pandai bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menyebabkan Malaysia terpaksa membayar ganti rugi RM63 bilion kepada waris kesultanan Sulu.

Berkongsi di Facebook miliknya, bekas Perdana Menteri itu membidas Tommy yang menulis surat kepada waris Sulu seolah-olah Malaysia bersalah dalam isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013.

“Memang kita ada hak untuk henti bayar setelah Jamalul Kiram menceroboh tanah air kita dan bunuh warga Malaysia pada 2013 memandangkan dia pernah diiktiraf sebagai Sultan Sulu oleh dua kerajaan Filipina sebelum itu.

“Ini sepatutnya pendirian tegas kita tetapi Tommy berlagak pandai untuk tulis surat kepada waris Sulu yang menyatakan Malaysia kesal bahawa bayaran tahunan telah dihentikan dan tawar RM50,000 untuk ‘settle’ kes bernilai berpuluh bilion ringgit,” katanya.

Najib menyindir percaturan Tommy dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menawarkan RM50,000 kepada pihak yang mahu menyaman untuk selesaikan kes.

“Pandainya kerajaan PH. Orang mahu saman berpuluh billion ringgit. Kamu pula tulis surat bahawa negara kesal lalu tawar RM50,000 untuk selesai kes?

“Malangnya, surat itu telah menjadi pengakuan salah Malaysia dan itulah sebab mahkamah Perancis kata Malaysia perlu bayar gantirugi sebanyak RM63 bilion kepada waris Sulu.

“Paling hairan ialah selepas hilangkan Pulau Batu Puteh, seluruh PH tetap membisu berhubung hal ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen