Pelitup muka SIRIM: ‘Mengapa baru sekarang kerajaan letak syarat?’ – Syed Saddiq

Pelitup muka SIRIM: ‘Mengapa baru sekarang kerajaan letak syarat?’ – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bimbang keputusan kerajaan mewajibkan pengilang membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM untuk pelitup muka bukan perubatan akan menyebabkan berlaku kenaikan harga.

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu juga akan menimbulkan banyak persoalan termasuk isu penetapan kadar siling dan kemungkinan pengeluar menggunakan alasan berkenaan untuk menaikkan harga.

“Saya difahamkan arahan ini terpakai kepada mana-mana orang yang membekalkan pelitup muka. Ia bermaksud pembekal kena lalui proses ini.

“Adakah selepas ini kerajaan berniat untuk menetapkan siling harga kepada facemask? Sekarang hanya ada siling harga 70 sen untuk ‘facemask 3-ply’ (yang warna biru cair tu).

“Kos untuk mendapatkan perakuan SIRIM ini pasti akan menjadi satu alasan untuk pembekal menaikkan harga facemask di pasaran. Kerajaan perlu berhati-hati dan bertanggungjawab,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau hairan mengapa baru hari ini kerajaan mahu meletakkan syarat baharu itu yang hanya akan berkuatkuasa pada Julai 2022.

“Negara kita sedang melalui peralihan ke endemik (transition to endemicity). Seharusnya hal-hal begini sudah lama disentuh oleh kerajaan.

“Saya risau lambakan facemask sekarang (yang tidak ada cop SIRIM) akan berterusan sehingga ke hujung tahun. Jadi, apa sebenarnya tujuan arahan ini dibuat sebegini lambat?,” katanya.

Syed Saddiq turut mempersoalkan, adakah selama ini kerajaan tidak memantau kualiti pelitup muka yang dijual di pasaran dari tahun 2020 hingga 2022.

“Ini hal yang serius. Kerajaan sebut, perakuan SIRIM ini untuk memastikan facemask mematuhi standard keselamatan pengguna. Jadi sebelum ini tak selamat kah?

“Kita perlu tahu juga hal begini. Semakan (inspection) perlu dibuat terhadap kualiti facemask di pasaran sekarang.

“Kerajaan kena bertanggungjawab. Tak boleh culas dalam menjaga kesihatan rakyat kita,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna apabila KPDNHEP mewartakan produk itu berkuat kuasa semalam.

KPDNHEP menyebut, penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

Menurut KPDNHEP, pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan. – Malaysiapost

Komen