Pewartaan pelitup muka bukan perubatan ditangguhkan

Pewartaan pelitup muka bukan perubatan ditangguhkan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ke 1 Januari 2023.

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas dari umum.

Menurut agensi itu, tujuan pewartaan ini adalah untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan dalam negara ataupun diimport mempunyai penandaan MS SIRIM, mematuhi standard dan berkualiti, demi keselamatan pengguna.

“Usaha ini juga diambil bagi meningkatkan perlindungan dan keselamatan pengguna melalui pembudayaan standard serta mengatasi masalah lambakan barangan sub-standard dalam pasaran tempatan.

“Selain itu, pematuhan perintah berkenaan adalah diwajibkan ke atas pengilang dan pengimport bagi kedua-dua produk ini, dengan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dilantik oleh KPDNHEP,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP berkata, proses pewartaaan ini bermula sejak 2018 untuk peranti rokok elektronik dan 2020 untuk pelitup muka bukan perubatan.

“Ia telah dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Mac 2022, selepas melalui pelbagai proses libat urus yang dikendalikan oleh Bahagian Standard Kepenggunaan (BSK) KPDNHEP bersama pemain industri, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Regulatory Impact Analysis (RIA) di Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi mendapatkan ulasan awam (public comment) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.

“Kedua-dua perintah ini juga telah dibentangkan kepada Jawatankuasa World Trade Organization TBT (Technical Barrier to Trade) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland bagi mendapatkan ulasan daripada 164 negara anggota WTO dan tidak mendapat bantahan,” katanya.

KPDNHEP turut memaklumkan,
dalam Majlis Amanat Bersama Pihak Industri Sempena Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 yang diadakan pada hari ini, seramai 130 orang yang terdiri daripada pengilang, pengimport serta persatuan pelitup muka bukan perubatan dan wakil-wakil agensi hadir bagi sesi taklimat kandungan kedua-dua perintah secara terperinci.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh Kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport iaitu bagi syarikat; didenda tidak melebihi RM 200,000.00. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.00.

“Manakala, individu (pengeluar/pengimport); didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjara tidak melebihi selama tempoh 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pewartaan ini merupakan inisiatif Kerajaan atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan dan Peranti Rokok Elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport. – Malaysiapost

Komen