RUU Anti Lompat Parti: ‘Ke lautlah MOU’ – Ahmad Maslan

RUU Anti Lompat Parti: ‘Ke lautlah MOU’ – Ahmad Maslan

APA guna Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) jika tiada kesepakatan dalam hal sepenting Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.

Persoalan itu dibangkitkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan susulan kemungkinan RUU itu tidak akan dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijadualkan pada 11 April ini.

“Apa guna MOU jika tidak sepakat untuk perkara sepenting Anti Lompat Parti?

“Ke laut lah” MOU itu. Parti mana yang tak setuju? UMNO, BN sokong anti lompat parti. Dlm Perhimpunan Agung Umno 2021 sebut kami sokong.

“Bukankah pindaan Perlembagaan lagi kuat dibanding hanya Akta?,” soal Ahli Parlimen Pontian itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu terdapat laporan menyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendakwa, Kabinet tidak bersetuju RUU itu dibentangkan.

RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’. – Malaysiapost

Komen