RUU Anti Lompat Parti: ‘Saya sendiri tidak pasti’ – Wan Junaidi

RUU Anti Lompat Parti: ‘Saya sendiri tidak pasti’ – Wan Junaidi

DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan keputusan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini, masih belum dipastikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu, berkata beliau sendiri belum dapat untuk memastikan perkara itu.

“Saya sendiri tidak boleh pasti. Ia hanya jadi pasti bila sudah diletak di atas meja Parlimen,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada RUU berkenaan akan ditangguhkan pembentangannya yang sepatutnya dijadualkan Isnin ini.

Terdahulu, media melaporkan, Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Sebaliknya, RUU itu akan disemak semula untuk kajian lebih lanjut terutama ke atas definisi ‘lompat parti’.

Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan Isnin ini untuk membolehkan RUU Anti Lompat Parti dibentang dan dibahaskan.

Katanya, tarikh itu sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang memiliki prerogatif untuk memanggil sidang khas Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kepada semua Ahli Parlimen bahawa kerajaan kekal komited untuk membentangkan RUU itu bagi mengawal tindakan wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya. – Malaysiapost

Komen