Tiada keperluan PAS guna Taliban demi tingkatkan imej Islamik – Khairil

Tiada keperluan PAS guna Taliban demi tingkatkan imej Islamik – Khairil

PAS tidak memerlukan isu Taliban untuk meningkatkan imej Islamik parti seperti yang dimainkan oleh pihak yang iri dengan perjuangan Islam PAS, kata Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin.

Malah, jelas beliau, sokongan kepada Taliban adalah selari dengan Dasar Luar Negara yang diamalkan Malaysia yang terkenal dengan reputasi sebagai broker perdamaian negara-negara Islam dan wilayah yang dilanda konflik.

Katanya, perjuangan Islam adalah perjuangan PAS dan isu membabitkan Islam akan terus diperjuangkan parti ini.

“Isu Islam yang diperjuangkan PAS bukan sahaja di Malaysia atau negara luar tertentu seperti Afghanistan dan Palestin, malah negara-negara Islam yang lain.

“Justeru, PAS menyokong kerajaan Taliban secara terbuka kerana Taliban adalah kerajaan yang mentadbir Afghanistan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata, kerajaan Taliban perlukan sokongan untuk membangunkan semula Afghanistan selepas berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan.

“Tetapi PAS tidak akan sama sekali menyokong apa sahaja bentuk keganasan yang berlaku di Afghanistan. Keganasan bukanlah cerminan kerajaan Islam yang PAS perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata, rekod pentadbiran PAS di Kedah, Terengganu, dan Kelantan adalah bukti perjuangan Islam bagi parti ini yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Tambahan, hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam juga terpelihara.

“Imej Islamik pada pentadbiran PAS di negeri-negeri tersebut tidak menjadi penghalang pembangunan dan peningkatan pelaburan luar.

“Ini jelas membuktikan bahawa PAS tidak memerlukan retorik sokongan politik kepada sesetengah kumpulan untuk meningkatkan imej Islam PAS,” katanya.

Sehubungan itu, PAS menyeru seluruh umat Islam memberi sokongan kepada Afghanistan untuk bangun semula membina negara mereka berlandaskan kesejahteraan yang dianjurkan Islam dan terus menegakkan Islam di negara itu tanpa menggunakan keganasan. – Malaysiapost

Komen