Data DNA bantu polis selesai kes rogol 12 tahun lalu

Data DNA bantu polis selesai kes rogol 12 tahun lalu

POLIS berjaya menyelesaikan kes rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang berlaku di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, 12 tahun lalu, menerusi data asid deoksiribonukleik (DNA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kes berjaya diselesaikan dengan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah ladang ternakan kambing di Balik Pulau pada jam 3.30 petang semalam.

“Siasatan saintifik yang menggunakan data DNA
telah berjaya mengenal pasti identiti suspek dalam kes ini.

“Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek dan suspek telah berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata, suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari bermula hari ini hingga 13 April ini bagi membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehinggalah berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.

“PDRM sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan,” katanya. – Malaysiapost

Komen