Isu tanah Seri Iskandar: Ahmad Faizal akan beri kerjasama penuh

Isu tanah Seri Iskandar: Ahmad Faizal akan beri kerjasama penuh

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan memberi kerjasama sepenuhnya jika dipanggil pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

“Sudah pasti saya akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa (sekiranya dipanggil pihak berkuasa berhubung isu penjualan tanah).

“Ketika ini, biarlah pihak berkuasa melakukan kerja dan siasatan mereka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mendapatkan dokumen isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang berkenaan daripada beberapa jabatan berkaitan.

Bagaimanapun Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata setakat ini pihaknya belum membuat sebarang penahanan atau memanggil mana-mana individu berhubung perkara itu.

Sebelum ini Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi mendakwa penjualan tanah berkeluasan ribuan ekar itu kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Asmuni yang juga seorang daripada Exco di bawah pentadbiran Ahmad Faizal ketika pentadbiran negeri diterajui PH, mendakwa sepanjang menyandang jawatan itu, penjualan terbabit tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi itu turut mendakwa tindakan terbabit langsung tidak diketahui sehingga perkara itu dibangkitkan menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh Adun Aulong, Nga Kor Ming. – Malaysiapost

Komen