Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan semula sementara pasport miliknya bagi menunaikan umrah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Presiden Umno itu selepas pasukan Pendakwa Raya diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, lapor NST.

Bagaimanapun, katanya memandangkan tarikh Zahid ke Mekah bertembung dengan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan, hari-hari yang dikosongkan itu perlu diganti dengan tarikh baharu.

Terdahulu, peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata pihak pembelaan berharap pasport Zahid dikeluarkan segera kerana anak guamnya memerlukannya bagi memudahkan proses permohonan visa.

Collin berkata beliau akan melepaskan pasport itu kerana pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan tersebut.

Beliau juga menetapkan 13 hingga 15 dan 1 Julai sebagai tarikh gantian untuk perbicaraan.

Ini kali kedua pasport Zahid dipulangkan kepadanya.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan pasport bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikeluarkan buat sementara waktu kepadanya.

Ini kerana beliau perlu terbang ke Jerman untuk rawatan perubatan selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Zahid, 68, dibicarakan atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. – Malaysiapost

Komen