Ramai berharap Umno berubah – Shahrir Samad

Ramai berharap Umno berubah – Shahrir Samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata ramai yang mengharapkan parti itu berubah seiring dengan zaman.

Beliau berkata, Umno menyedari perkara itu dengan melakukan tranfromasi meletakkan majoriti calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Orang ramai memangnya mengharapkan kepada Umno berubah seiring dengan zaman.

“Kerana itu, calon-calon Umno dan BN pada PRN Melaka dan Johor terdiri majoritinya dari muka baru dan orang muda,” katanya menerusi Facebook.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, peremajaan Umno terutama di kalangan wakil rakyatnya harus diteruskan.

Beliau yang mengambil Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebagai contoh berkata, kemenangan Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah di kerusi itu mencetuskan sambutan baik daripada anak muda.

“Mereka ingin sendiri menyertai Umno agar terlibat dengan usaha kesejahteraan masa depan mereka.

“PRN Johor adalah ‘dry run’ kepada PRU15. Peremajaan Umno, khususnya wakil-wakil rakyatnya yang menjadi wajah kepada parti dan perjuangan, harus diteruskan ketika itu juga,” katanya.

Pada PRN Johor lalu, Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor melakukan perubahan, termasuk meletakkan calon muda seperti yang dimahukan oleh masyarakat dan akar umbinya.

Pendekatan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa, termasuk pertambahan pengundi muda susulan pelaksanaan secara automatik Undi 18. – Malaysiapost

Komen