Subsidi jemaah haji diteruskan – Idris

Subsidi jemaah haji diteruskan – Idris

PEMBERIAN subsidi kepada jemaah haji akan diteruskan walaupun kos menunaikan rukun Islam kelima itu dijangka meningkat lebih RM25,000 tahun ini.

Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang memaklumkan perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum kos bayaran yang akan ditanggung jemaah ditentukan.

“Nanti kita akan umumkan (kos), malah (kuota haji) semua negara belum diumumkan lagi, sepatutnya (Arab Saudi) maklumkan sebelum Ramadan, tapi mungkin ada perkara perlu diselesaikan dahulu, kita tunggu.

“Subsidi akan tetap kita bagi, namun tidak boleh umum lagi, kita akan bincang dengan TH dalam masa terdekat, nanti akan diputuskan Kabinet dan diumum kemudian,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya hari ini.

Semalam TH menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menjangka kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 seorang.

Ia susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi.

Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) yang dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan.

Kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada tahun 2019 ialah RM22,900. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Idris Ahmad

Komen