Wany Hasrita bakal tamatkan zaman bujang tahun ini

Wany Hasrita bakal tamatkan zaman bujang tahun ini

PENYANYI Wany Hasrita memberi bayangan akan menamatkan status bujang pada tahun ini, namun menjelaskan bukan dalam masa terdekat.

Pelantun lagu ‘Menahan Rindu’ itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana mahu menjaga hati banyak pihak.

Jelas Wany lagi, dia hanya akan berkongsikan mengenai hal perkahwinanya itu apabila tiba masanya nanti.

“Setiap orang mempunyai perancangan berkahwin, begitu juga saya. Insya-Allah, tahun ini tetapi bukan dalam masa terdekat, tempoh sebulan atau dua bulan ini.

“Apabila kad kahwin sudah keluar berserta tarikh, masa dan tempat ditetapkan, saya pasti akan berkongsi. Jangan risau, saya akan kongsi dahulu, barulah berkahwin.

“Sebab perkara ini juga masih baru. Untuk cakap lebih-lebih, saya pun takut sebab banyak hati dan perkara perlu dijaga. Saya mahu menjaga sebaik mungkin, biar berjalan dengan baik,” katanya.

Wany juga turut merahsiakan tarikh dirinya dirisik serta bertunang bagi menghormati pihak terbabit. Namun ujarnya, dia akan memaklumkan mengenai pernikahannya.

“Soal merisik dan bertunang, biar saya sahaja yang tahu. Disebabkan cuba sedaya upaya menghormati pelbagai pihak, tetapi kalau nikah, kami akan beritahu,” katanya.

Ditanya berhubung dakwaan dia sudah melangsungkan pernikahan pada Sabtu lalu, Wany mengakui terkejut dengan dakwaan berkenaan serta menafikan perkara itu.

“Tidak, saya belum berkahwin lagi. Sabtu lalu, saya mengacarakan program Borak Dulu Baru Buka,” katanya.

Dalam pada itu, Wany mengakui dia berharap untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang bukan daripada industri hiburan.

Ujarnya, dia hanya akan mendedahkan mengenai identiti jejaka itu apabila tiba masanya.

“Saya punya impian untuk berkahwin dengan seseorang yang bukan bekerja dalam industri. Jadi, jika ada jodoh, tercapailah impian itu.

“Jujurnya, apabila berkawan, memang niat ke arah itu memandangkan saya juga sudah berusia 30 tahun. Jadi, fasa main-main sudah berlalu, sekarang ini niat kena betul, iaitu mahu berkahwin.

“Berkahwin untuk ke syurga bersama-sama, insya-Allah. Itu sahaja yang boleh dikongsikan. Untuk pertanyaan berapa lama sudah berkawan, siapa namanya, persiapan dan sebagainya, saya akan beritahu apabila tiba masa,” katanya. – Malaysiapost

Komen