1 juta jemaah dibenar mengerjakan haji tahun ini

1 juta jemaah dibenar mengerjakan haji tahun ini

SELEPAS dua tahun ibadah haji ditangguhkan susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, Kerajaan Arab Saudi akhirnya membenarkan rukun Islam kelima itu dilaksanakan tahun ini dengan menetapkan kuota seramai sejuta jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata berita itu benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam ke lima ini.

“Alhamdulillah. Dua tahun. Satu tempoh yang cukup lama bagi mereka yang rindukan bumi haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun islam yang penuh hikmah.

“Pastinya berita ini benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam ke lima ini.

“Dan jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya telah dimaklumkan bahawa pihak Tabung Haji (TH) akan segera memaklumkan apabila kuota haji bagi Malaysia akan dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Saudi sedikit masa lagi.

“Sekali lagi, beberapa sidang media yang saya maklumkan sebelum ini bahawa komitmen TH yang telah bersedia untuk memastikan kelancaran ibadah haji kepada bakal-bakal jemaah di negara kita telah pun dipersiap siagakan.

“Kita hanya tinggal untuk mendapatkan kuota, dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik.

“Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua,” katanya.

Idris meminta masyarakat Islam di negara ini terus berdoa, sabar dan fokus dalam menjalani ibadah Ramadan, dan sungguh-sungguhlah berdoa agar dapat menjadi tetamu Allah kelak.

“Labbaikallahumma labbaik. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau turut berkongsi kenyataan media dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai kebenaran ibadah haji pada tahun ini.

Dalam kenyataan itu seramai sejuta jemaah haji akan dibenarkan menunaikan ibadah berkenaan tahun ini dan kuota haji bagi setiap negara adalah seperti yang akan ditetapkan serta perlu mematuhi nasihat kesihatan. – Malaysiapost

Komen