3,420 karton rokok dirampas dalam Op Benteng Bersama

3,420 karton rokok dirampas dalam Op Benteng Bersama

MARKAS Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 3,420 karton rokok tidak sah (tidak bercukai) menerusi rondaan Op Benteng Bersama di kawasan Tawau, Sabah.

Rampasan dibuat pada Khamis lalu jam 9 malam di Kampung Sri Aman, Tawau hasil pemeriksaan dua van jenis Toyota Hiace warna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, berkata pemeriksaan awal mendapati kedua-dua buah van itu dipercayai digunakan untuk membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau serta ditinggalkan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau.

“Kenderaan tersebut bersama kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Tawau) untuk membuat laporan polis pada jam 3.00 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 3,420 karton rokok seludup adalah dianggarkan RM410,200 manakala dua buah van berkenaan dianggarkan bernilai RM 216,00.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM626,200 dan kesemua barang rampasan serta kenderaan telah diserahkan kepada IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di tahap terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah.

“Kejayaan ini membuktikan sempadan Perairan Pantai Timur Sabah sentiasa diawasi ketat sebilang masa oleh pasukan keselamatan sekaligus membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan negara.

“ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan dan ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara’,” katanya. – Malaysiapost

Komen