Bapa sahkan Nathan sudah meninggal dunia

Bapa sahkan Nathan sudah meninggal dunia

PENYELAM warga Britain, Adrian Chesters, 46, yang ditemui selamat hari ini selepas hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing Johor, sejak Rabu lalu mengesahkan anaknya, warganegara Belanda, Nathan Renze Chester, 14, telah meninggal dunia.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata Adrian memaklumkan anaknya meninggal dunia kerana terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

Katanya Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari mangsa.

“Penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35 tahun, penyelam warga Perancis, Alexia Molina, 18 tahun, dan penyelam warga Britain, Adrian Chesters, 46 tahun, selamat ditemukan.

“Bagaimanapun, seorang remaja lelaki Nathan Renze, 14 tahun, yang masih belum ditemui telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya, Adrian Chester, akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

“Nathan Renze, yang dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam turut mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi dan pihak terlibat sepanjang Op Carilamat ini berlangsung. – Malaysiapost

Komen