Jakim tidak boleh keluarkan kenyataan – Sultan Selangor

Jakim tidak boleh keluarkan kenyataan – Sultan Selangor

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Titah tersebut dibuat baginda yang juga Pengerusi MKI menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Menurut baginda, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

“Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya juga bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda dalam kenyataan itu.

Sebaliknya, baginda bertitah, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

“Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri.

“Berhubung dengan isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al- Haqqani, keputusan muzakarah sudah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.

“Butiran penuh kepada keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April lalu,” titah baginda. – Malaysiapost

Komen