Jangan biarkan fenomena “barang naik” berterusan – Wan Saiful

Jangan biarkan fenomena “barang naik” berterusan – Wan Saiful

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa supaya memandang serius isu kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini dan tidak hanya memberi arahan kepada agensi atau kementerian berkaitan untuk menanganinya.

Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berpendapat adalah tidak mencukupi dengan hanya memberi arahan kepada agensi atau kementerian, sebaliknya perlu terlibat secara langsung.

Menurutnya, ia bagi memastikan harga barangan tidak menjadi di luar kawalan.

“Sepanjang minggu ini setiap hari saya menyantuni rakyat melalui program-program kebajikan di kampung-kampung dan melalui walkabout di bazar-bazar Ramadan di Jitra dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Setiap kali saya bertemu mereka, satu perkara yang tidak pernah lekang dari percakapan ialah betapa kenaikan harga barang menekan kehidupan harian rakyat biasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berpendapat fenomena ‘Barang Naik’ ini mesti dipandang serius oleh Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri.

“Jangan beri alasan dan arahan sahaja tetapi betul-betul pastikan ada tindakan penguatkuasaan tegas sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan.

“Pasukan penguatkuasa mesti digerakkan dengan sepenuhnya untuk memantau fenomena harga barangan dan mengambil tindakan segera apabila perlu,” katanya.

Wan Saiful berkata, pada masa sama, usaha untuk membina semula ekonomi mesti dijadikan tumpuan bagi memastikan rakyat biasa dapat menjalankan dan mempergiat kegiatan ekonomi harian untuk mampu menyara kehidupan sendiri.

“Perhatian kerajaan mestilah ditumpukan kepada rakyat terbanyak, bukan ‘bail out’ syarikat konsesi besar atau mencipta peraturan yang memberi untung berganda kepada syarikat terkait keluarga kluster mahkamah.

“Jangan biarkan fenomena ‘Barang Naik’ berterusan,” katanya. – Malaysiapost

Komen