Undi18 tolak pindaan Perlembagaan Perkara 10

Undi18 tolak pindaan Perlembagaan Perkara 10

PERSATUAN Pengundi Muda (Undi18) menolak Pindaan Perkara 10 Perlembagaan
Persekutuan kerana didakwa akan memberikan implikasi jangka masa panjang kepada demokrasi negara Malaysia.

Jelas Undi18 dalam kenyataan hari ini, pindaan berkenaan akan memberikan kuasa yang terlalu luas kepada kerajaan untuk menentukan keahlian parti untuk Ahli Parlimen, maka terbuka kepada salah guna kuasa.

“Pindaan Perkara 10 tidak khusus kepada isu lompat parti. Pindaan Perkara 10 akan memberikan ‘cek kosong’ kepada mana-mana kerajaan yang akan datang untuk mengawal penyertaan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam parti politik.

“Contohnya, tidak mustahil jika peraturan diletakkan untuk memecat ahli politik dari parti politik jika mereka pernah disaman ataupun pernah ditahan polis bawah mana-mana akta ditentukan pihak kerajaan,” katanya.

Selain itu, menurut Undi18, Pindaan Perkara 10 ini tidak membawa kepada Akta Lompat Parti secara langsung.

“Pindaan Perlembagaan masih diperlukan untuk Perkara 48; dimana termaktub sebab-sebab seseorang ahli Dewan boleh dilucutkan kerusi Parlimennya. Tanpa pindaan terhadap Perkara 48, apa-apa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi Parlimen masih tidak selari dengan Perlembagaan.

“Malah, Pindaan Perkara 10 tidak mampu menghalang peristiwa seperti tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (Langkah Sheraton) dan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional berulang kembali. Kedua-dua kejadian ini disebabkan oleh parti politik kerajaan memilih untuk menukar arah dan meninggalkan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Undi18 menyokong cadangan kumpulan masyarakat sivil, BERSIH, dan Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengusulkan pilihan raya pecat (recall elections) sebagai langkah penyelesaian lebih jitu.

“Kesimpulannya, silap besar jika Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 10 diluluskan. Kerajaan yang berkepentingan sendiri boleh menghadkan keahlian parti politik, hanya dengan kuasa legislatif dan keputusan keselamatan yang diambil tanpa apa-apa semak dan imbang atau penyeliaan.

“Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah. Janganlah terlanjur berikan kuasa tanpa batas kepada Kerajaan, baru menyesal di kemudian hari,” katanya. – Malaysiapost

Komen