2 beranak dikesan tarik anjing guna Myvi

2 beranak dikesan tarik anjing guna Myvi

POLIS berjaya mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kes seekor anjing ditarik oleh seseorang dari dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang sedang bergerak disyaki berlaku di kawasan perumahan Taman Sri Skudai, Johor seperti video yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian yang berdurasi sembilan saat berkenaan pada jam 3 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk disoal siasat.

“Hasil soal siasat mendapati kenderaan yang digunakan adalah milik abang ipar suspek dan kejadian berlaku pada 8 April lalu kira-kira jam 2 petang,” katanya dalam satu, kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut keterangan suspek anjing berkenaan adalah haiwan peliharaannya yang hilang dan telah dijumpai semula di kawasan perumahan suspek dalam keadaan kotor dan berkutu.

“Suspek beranggapan tidak sesuai anjing berkenaan dibawa masuk ke dalam kereta, maka dengan itu ibu suspek telah menggunakan tali ‘leash’ dan menarik anjing itu dari tingkap penumpang hadapan kereta yang dipandu secara perlahan.

“Ia memandangkan kawasan anjing tersebut ditemui adalah berhampiran dengan rumah suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diperolehi dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan / Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat ke IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya. – Malaysiapost

Komen