Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Hisham Abdul Rahman

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Hisham Abdul Rahman

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain ragbi kebangsaan, Hisham Abdul Rahman, yang telah kembali ke Rahmatullah semalam.

Istana Negara menerusi Facebook memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan ragbi kebangsaan.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata kenyataan Istana Negara.

Dalam rekod, Hisham merupakan pemain ragbi kebangsaan pada era 70-an dan 80-an dan pernah dipilih mewakili negara pada kejohanan Asian Rugby Football Union (ARFU) dan Sukan Sea 1979 di Jakarta, Indonesia.

Allahyarham yang berasal dari Johor merupakan pengasas Kelab Ragbi Anchorman dan juga antara individu yang terlibat dalam penubuhan Kuala Lumpur Rugby Union (KLRU).

Allahyarham juga merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih menyertai Majlis Eksekutif Ragbi Asia selama dua tahun, bermula pada tahun 2011.

Sebagai Ahli Majlis Eksekutif Ragbi Asia, Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam membawa penganjuran Kejohanan Ragbi Asia 15 sebelah ke negara ini yang telah diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor. – Malaysiapost

Komen