Dikejar kerana tak pakai topi keledar

Dikejar kerana tak pakai topi keledar

POLIS menjelaskan punca insiden sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki bersama seorang pembonceng dikejar seperti tular di aplikasi TikTok baru-baru ini, adalah kerana mereka melakukan provokasi serta tidak memakai topi keledar.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata berkata, pihaknya mengesan satu video tular pada Jumaat lalu, berdurasi 14 saat yang dimuatnaik oleh seorang pengguna akaun TikTok @AnnR yang memaparkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada 8 April lalu jam lebih kurang 12.15 tengah hari ketika pegawai polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sedang menjalankan tugas rondaan harian.

“Pihak polis terlihat sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo LC warna merah yang dinaiki dua lelaki yang tidak memakai topi keledar sambil melakukan provokasi dengan memotong kenderaan polis di sebelah kiri.

“Pegawai polis telah mengarahkan penunggang motosikal tersebut untuk berhenti dan suspek telah bertindak melarikan diri dengan memecut motosikal melintasi pembahagi tengah jalan dan menuju ke jalan kawasan bendang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan pegawai polis tersebut meneruskan rondaan seperti biasa.

“Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi semua undang-undang lalu lintas yang sedia ada termasuklah penggunaan telefon bimbit semasa memandu juga adalah salah di sisi undang-undang.

“Malah pihak Polis Kubang Pasu juga menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesalahan lalulintas disekitar daerah Kubang Pasu dapat menyalurkan maklumat tersebut di talian Hotline IPD Kubang Pasu 04-9172222,” katanya. Malaysiapost

Komen