Ketua Pengarah Jakim junjung titah Sultan Selangor

Ketua Pengarah Jakim junjung titah Sultan Selangor

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa agensi itu tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Beliau yang juga Setiausaha MKI memaklumkan perkara tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“Jakim selaku Sekretariat MKI akan sentiasa mematuhi peraturan MKI yang telah ditetapkan dan arahan dari semasa ke semasa Pengerusi MKI.

“Saya mengambil kesempatan ini merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI terhadap tatakelola pentadbiran MKI,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Titah tersebut dibuat baginda yang juga Pengerusi MKI menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Klang, semalam.

Baginda bertitah Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI. – Malaysiapost

Komen