PM akan rujuk Umno jika ingin bubar Parlimen – Isham

PM akan rujuk Umno jika ingin bubar Parlimen – Isham

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menegaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Ismail Ismail Yaakob akan merujuk kepada Umno terlebih dahulu berkenaan pembubaran Parlimen, bukannya kepada mana-mana parti lain.

Kenyataan beliau itu dibuat selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri perlu berunding dengan PN dahulu sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

“Semalam Muhyiddin jumpa PM (Perdana Menteri). Dia ingatkan PM bahawa jika ingin bubar Parlimen, PM kena runding dengan dia (PN) dulu.

“Saya ingin tanya Muhyiddin, dia pakai undang-undang mana yang kata PM perlu rujuk kepada dia atau parti dia sebelum bubar Parlimen?

‘’Jika pun PM akan rujuk mana-mana parti, tentunya PM akan rujuk kepada partinya sendiri iaitu Umno dan bukannya PPBM (Bersatu) atau PN atau parti orang lain untuk bubar Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Isham turut menyifatkan Muhyiddin sebagai ‘kaki pusing’ kerana mempunyai niat ingin menjatuhkan Perdana Menteri sedangkan beliau sendiri meminta kerjasama dengan Ismail Sabri.

“Muhyiddin ini kaki pusing. Semalam dia jumpa PM ajak kerjasama, namun hari lain laporan kata dia pergi jumpa orang lain minta sokongan nak jadi PM semula, maksudnya nak jatuhkan PM sekarang. Apa punya khianat. Bulan puasa pun gila kuasa,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataan memaklumkan beliau dan pimpinan parti-parti gabungannya mengingatkan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri bahawa PN adalah parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan ketika ini

Beliau berkata, maka rundingan perlu dibuat dengan PN terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen dab perkara tersebut dimaklumkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, semalam.

Sementara itu dalam satu lagi hantaran, Isham turut mengulas laporan media mengenai Pakatan Harapan (PH) masih membuka pintupintu rundingan kerjasama dengan Bersatu dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Muhyiddin mungkin tidak kisah untuk tinggalkan PAS untuk bersama PH. Dia tahu tanpa undi bukan Melayu PH dia akan kalah di hampir semua (jika tidak semua) kerusi sedia ada PPBM (Bersatu) termasuk kerusinya di Pagoh.

“Mungkin PRU-15 ini akan jadi ulang-semula pertandingan tiga penjuru BN-PH-PAS seperti PRU-14 yang lalu. Cuma tunggu sama ada kali ini Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Pejuang) boleh namakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) sebagai calon Perdana Menteri atau tidak,” katanya.

Terdahulu Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata PH tidak menutup pintu rundingan kerjasama dengan Bersatu kerana persefahaman politik antara parti boleh dibuat dalam pelbagai bentuk. – Malaysiapost

Komen