Ronaldo minta maaf kerana ‘mengamuk’

Ronaldo minta maaf kerana ‘mengamuk’

KEKALAHAN pasukan Manchester United kepada Everton semalam nyata satu tamparan hebat buat Cristiano Ronaldo hingga mengakibatkan pemain terbabit dikatakan mengamuk dan menghempas barang milik penonton dipercayai telefon bimbit.

Insiden berkenaan dirakam selepas wisel penamat dan ketika pemain antarabangsa Portugal itu berjalan memasuki bilik persalinan dan video rakaman kejadian itu kemudian tular di media sosial.

Susulan itu, Pemenang Ballon d’Or lima kali itu dilaporkan membuat permohonan maaf di laman Instagramnya berhubung insiden berkenaan.

“Ianya tidak pernah mudah untuk menangani emosi dalam saat-saat sukar seperti yang kita hadapi.

“Namun begitu, kami perlu sentiasa menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh kepada golongan muda yang meminati permainan cantik,” tulis Ronaldo.

Beliau turut menjemput penyokong berkenaan untuk menonton perlawanan di Old Trafford.

“Saya ingin memohon maaf atas keterlaluan saya dan, jika boleh, saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan,” katanya.

Dalam perlawanan menentang Everton di Goodison Park, Manchester United tumpas 1-0 hasil jaringan Anthony Gordon pada separuh masa pertama.

Kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut buat pasukan kendalian Ralf Rangnick di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ia juga adalah tamparan besar kepada harapan Red Devils untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL), yang kini ketinggalan enam mata daripada empat pasukan teratas. – Malaysiapost

Komen