Tahanan meninggal dunia selepas diberi ubat tibi

Tahanan meninggal dunia selepas diberi ubat tibi

SEORANG tahanan dilaporkan meninggal dunia di Lokap Berpusat Indera Mahkota, Kuantan petang semalam selepas hanya kira-kira sejam selepas diberikan ubat sakit tibi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad, berkata lelaki berusia 42 tahun itu dihantar ke lokap berkenaan bagi menjalani hukuman penjara selama lapan bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, lelaki tempatan terbabit juga mempunyai sebutan semula kes pada 14 April ini bagi kesalahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan merupakan tahanan dari Penjara Penor, Kuantan.

“Pada 9 April 2022 jam 4.40 petang, orang kena tahan (OKT) telah diberikan ubat sakit tibi dan pada jam 5.47 petang, OKT didapati tidak sedarkan diri semasa anggota bertugas mengedarkan makanan untuk berbuka puasa.

“Pada jam 6.35 petang, pihak hospital mengesahkan OKT telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan. – Malaysiapost

Komen