Ahli Dewan Negara juga perlu tertakluk pada Akta Anti Lompat Parti – Nazri Aziz

Ahli Dewan Negara juga perlu tertakluk pada Akta Anti Lompat Parti – Nazri Aziz

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mencadangkan selain Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Negara juga perlu terikat dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Beliau berkata ia khususnya bagi Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih oleh rakyat.

Menurutnya, dalam sistem perundangan negara selain Ahli Dewan Rakyat dan ADUN, satu lagi badan yang cukup penting adalah Ahli Dewan Negara atau Senator.

“Dewan Rakyat bersendirian tidak boleh membuat keputusan bagi sesuatu RUU untuk dijadikan sebagai akta melainkan kalau ianya juga diluluskan oleh Dewan Negara.

“Bermakna kita jangan menganggap bahawa Dewan Negara ini sebagai satu institusi yang tidak sama penting , malah dari segi protokol Dewan Negara adalah atas dari Dewan Rakyat walaupun mereka ini lantikan sahaja,” katanya di sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 membabitkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi punca kuasa membolehkan penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Mohamed Nazri berpendapat, Ahli Dewan Negara juga terikat dengan ‘lompatan’ ini kerana Ahli-ahli Dewan Negara sebahagian daripada mereka adalah dilantik oleh DUN serta wilayah-wilayah.

“Secara tidak langsung sebenarnya mereka adalah dipilih oleh rakyat dan mereka juga adalah lantikan politik. Tidak mungkin kalau mereka bukan orang kuat parti, nama mereka akan dicalonkan sebagai senator di peringkat negeri,” katanya.

Menurutnya, pernah berlaku pada 2018 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dimana sebahagian besar Ahli Dewan Negara lantikan Barisan Nasional (BN) beramai-ramai keluar menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang berlaku Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh DUN telah dengan tidak dipaksa, tanpa disuruh secara sukarela mereka melompat dan akhirnya telah menolak satu RUU ketika itu.

“Kita (BN) terkesan daripada sikap mereka dan sebab itu saya cadangkan mereka ini dimasukkan dalam akta lompat parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen