Anwar pertahan jawatan Presiden PKR

Anwar pertahan jawatan Presiden PKR

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan Presiden PKR bagi penggal 2022/2024.

Perkara itu diumumkan pejabatnya menerusi kenyatan media di Facebooknya sebentar tadi, serta menjelaskan Anwar telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden PKR bagi penggal 2022/2024.

“Beliau telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada jam 12.14 tengahari,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, lebih 8,000 permohonan diterima untuk pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 melibatkan jawatan peringkat cabang di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pencalonan yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi ADIL yang bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini turut berjalan lancar.

Memandangkan proses pencalonan bagi pemilihan PKR dijalankan buat julung kalinya menerusi aplikasi ADIL, beliau berkata, berlaku sedikit masalah teknikal kerana ia merupakan sistem baharu, namun kaedah melalui aplikasi itu tetap dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ahli-ahli terlibat.

Pada Disember lalu, Anwar menyatakan kesedian melepaskan jawatannya sekiranya ada lantikan baharu untuk menerajui parti itu.

Katanya, beliau bersedia memberi laluan kepada muka baharu jika dipersetujui ahli parti. – Malaysiapost

Komen