Hina Nabi Muhammad, Uthaya Sangkar ditahan polis

Hina Nabi Muhammad, Uthaya Sangkar ditahan polis

POLIS telah memberkas penulis Uthaya Sankar SB gara-gara memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di akaun Facebooknya, 7 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek merupakan lelaki berumur 50 tahun dan telah ditangkap dalam sebuah rumah di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada 11 April lebih kurang 11.15 pagi bagi membantu siasatan.

“Turut dirampas daripada suspek adalah satu unit telefon bimbit jenama Iphone XR berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Abdul Jalil, permohonan reman terhadap suspek juga akan dibuat dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah esok.

Terdahulu Uthaya dilaporkan dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, dikatakan berhubung hantaran yang dimuat naik di media sosialnya.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan menyebabkan atas alasan agama suasana tidak harmoni, perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – Malaysiapost

Komen