Kayu jenis belian antara faktor kos bina jeti baharu cecah RM50,000 – JKR

Kayu jenis belian antara faktor kos bina jeti baharu cecah RM50,000 – JKR

JABATAN Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri menjelaskan kos pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap, Bekenu, Miri, Sarawak sebagai wajar.

Kenyataan itu susulan perdebatan netizen yang mempersoalkan nilai sebenar hasil jeti tersebut yang disifatkan tidak sepadan dengan kos yang dinyatakan. 

JKR Bahagian Miri menjelaskan, kos pembinaan semula jeti baharu di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tinggi kerana ia melibatkan kayu keras jenis belian yang bernilai tinggi, termasuk platform sementara untuk pembinaan jeti tersebut.  

Menurut JKR Bahagian Miri, selain penggunaan kayu belian, pelbagai faktor diambil kira termasuk keadaan laluan ke Kampung Mutap, logistik dan langkah keselamatan berikutan kawasan itu dipenuhi buaya.

“Harga kayu belian yang digunakan adalah lebih rendah daripada kadar harga pasaran iaitu RM9,000 semeter.

“Pembinaan jeti itu pada mulanya dicadangkan mengguna keluli tetapi disebabkan kos yang terlalu tinggi, Ketua Kampung Mutap, Sediah Abdullah menolak cadangan itu dan memilih jeti belian sebagai ganti.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan, sebuah jambatan kayu yang siap dibina bernilai RM50,000 di Kampung Mutap, Bekenu, Miri mengundang pelbagai reaksi dan komen dari netizen yang mempersoalkan nilai sebenar hasil jambatan tersebut.

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Khamis lalu, projek jambatan tersebut dikenali sebagai ‘Bina Baru Jeti Kampung Mutap’ bagi menggantikan jeti lama yang telah rosak.

Bagaimanapun, rata-rata komen netizen mempersoal serta membandingkan harga yang diletak untuk menyiapkan projek berkenaan terlalu tinggi dari hasil sebenar jambatan kayu sepanjang 15 meter berkenaan.

Menurut JKR Sarawak, jambatan tersebut mengambil masa sebulan untuk siap sepenuhnya pada April tahun ini, malah lebih awal dari perancangan sebenar. – Malaysiapost

Komen