‘Korang pun gagal tukar Tun M dengan Anwar’- Najib bidas Mat Sabu

‘Korang pun gagal tukar Tun M dengan Anwar’- Najib bidas Mat Sabu

DATUK Seri Najib Razak membidas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) mampu menjatuhkan kerajaan serta menukar Perdana Menteri jika gabungan parti itu mahu.

Dalam nada sindiran, Najib berkata, PH terlupa bahawa gabungan itu pernah gagal untuk menukar Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketika menjadi kerajaan.

Katanya, kegagalan PH berbuat demikian menyebabkan kerajaan gabungan itu tumbang selepas ‘digame’ Dr Mahathir.

“Fuh, powernya Mat (Sabu) dan PH. Nak tukar PM, bila-bila pun ikut suka hati mereka.

“Tapi teringat korang pun gagal tukar Tun Dr Mahathir dengan Anwar. Akhirnya, kena ‘game’ dengan Tun. Tumbang satu kerajaan. Sekarang tak memerintah lagi, korang lagi power ke?,” soalnya.

Terdahulu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini, mendakwa PH boleh menjatuhkan kerajaan masa ini jika gabungan parti itu mahu.

Bagaimanapun, beliau berkata PH tidak akan berbuat demikian berikutan telah mengikut Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang.

“Kerajaan dibina melalui ‘Sheraton Move’ tak stabil. Tak lama perdana menteri berkuasa dan tukar PM baru (beberapa kali).

“Sekarang kalau kami mahu Perdana Menteri ini pun boleh ditukar. ‘If we want’. Kami tak mahu Kami dah buat perjanjian MoU,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Sabu berkata setakat ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengikut MoU yang telah dimertai dengan pembangkang.

Beliau berkata bagaimanapun MoU itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

Komen