Lompat parti tabiat jelek yang merosakkan negara – Syed Saddiq

Lompat parti tabiat jelek yang merosakkan negara – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beliau akan terus menggesa kerajaan untuk membentangkan Akta Anti Lompat Parti bersekali dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, perkara itu perlu direalisasikan kerana negara tidak boleh memberi peluang kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mengkhianati amanah rakyat.

“Lompat parti adalah tabiat jelek yang merosakkan negara. Hari ini Parlimen ada sidang Mesyuarat Khas berkenaan Akta Anti Lompat Parti.

“Banyak lagi ulasan dan pindaan yang harus dibuat oleh kerajaan. Pembangkang juga cadangkan untuk perhalusi beberapa pindaan kepada Perkara 10 dan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau juga ada menyebut dalam sesi perbahasannya hari ini, supaya semua Ahli Parlimen terus berpegang teguh kepada amanah untuk rakyat.

“Kalau anda adalah dalang kepada politik ugut-mengugut, berhentilah. Kalau anda menikam belakang parti anda sendiri, terimalah hukuman yang setimpal.

“Budaya politik lompat melompat ini adalah satu amalan yang mencacatkan demokrasi berperlembagaan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, tabiat lompat melompat parti itu juga telah menyebabkan banyak negeri yang tumbang dan siri-siri pilihan raya negeri terpaksa dibuat kerana agenda politik kumpulan tersebut.

Semalam, media melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka dibentang di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperincikan, menggubal dan meneliti pindaan RUU Anti Lompat Parti itu sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu. – Malaysiapost

Komen