Mesyuarat Khas Dewan Negara esok dibatalkan

Mesyuarat Khas Dewan Negara esok dibatalkan

MESYUARAT Khas Dewan Negara berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No.3) yang dijadualkan berlangsung esok dibatalkan.

Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah, berkata Yang Dipertua Dewan Negara telah menerima makluman pembatalan tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Mesyuarat.

Pembatalan dibuat berikutan RUU terbabit yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini akan dikaji dan diteliti semula melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat

Terdahulu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini senada untuk merujuk terlebih dahulu pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ke Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum dibentangkan ke Mesyuarat Khas Parlimen akan datang.

Pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan itu bagi membolehkan akta antilompat parti digubal, mereka rata-rata berpendapat Perkara 10(3)(a) terlalu luas dan perlu diletakkan sekatan-sekatan tertentu berhubung perkara lompat parti sahaja.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembangkang bersetuju agar pindaan itu diperincikan supaya tidak disalah guna oleh pihak tertentu.

Katanya, ia juga perlu menghormati prinsip asas dalam perlembagaan, kebebasan dan sistem demokrasi, mengiktiraf hak bersuara dan hak berpersatuan yang digariskan dalam Perlembangaan Persekutuan. – Malaysiapost

Komen