Pergerakan pulang besar-besaran sempena Aidilfitri bermula 30 April

Pergerakan pulang besar-besaran sempena Aidilfitri bermula 30 April

PERGERAKAN pulang ke kampung halaman secara besar-besaran sempena cuti perayaan Aidilfitri tahun ini dijangka berlaku di seluruh negara bermula 30 April ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan kenderaan dan juga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pengguna jalan raya.

Menurutnya, daripada 26,000 kekuatan pegawai dan anggota KDNKA, hanya 10 peratus dibenarkan untuk bercuti pada musim perayaan kali ini.

“Sebanyak 10 peratus daripada 26,000 pegawai serta anggota PDRM bercuti manakala selebihnya akan diarahkan untuk bekerja bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika musim perayaan.

“Pesanan saya kepada semua pengguna supaya mematuhi keselamatan jalan raya serta SOP yang masih dikuatkuasakan pada fasa peralihan ke endemik ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengulas berhubung pelaksanaan SOP, Hazani berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya khususnya di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang kerap menjadi lokasi tumpuan pengguna sehingga membawa kesesakan.

“Kita akan menggunakan budi bicara dengan memberi nasihat dan peringatan namun jika masih berdegil barulah kita akan keluarkan kompaun ingkar SOP dan sebagainya.

“Sepanjang fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April lalu, cuma pada 9 April lalu sebanyak 183 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar SOP.

“Tetapi secara keseluruhannya kes kesalahan tak banyak berlaku kerana rakyat kita majoritinya sedar dan memahami keadaan semasa Covid-19 serta patuh SOP,” katanya. – Malaysiapost

Komen