PH boleh tukar PM jika mahu – Mohamad Sabu

PH boleh tukar PM jika mahu – Mohamad Sabu

BUDAYA ‘lompat melompat’ parti sudah menjadi perkara biasa dalam politik Malaysia dan hanya menjadi tamparan hebat apabila lompat itu merubah kerajaan persekutuan hingga membuka mata semua pihak.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, berkata dia kini boleh bernafas lega dan berasa kelegaan jiwa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk membawa Akta Anti Lompat Parti ke Parlimen.

“Jiwa kita kacau dan sakit begitu lama tak kira di pihak mana yang lompat..bukan bila di pihak sana (kerajaan) lompat kita (pembangkang) gembira dan sebaliknya.

“Memang lompat ini boleh merubah kerajaan. Tahun 1961 kerajaan PAS yang majoriti sedikit bila lompat beberapa orang bertukar kerajaan.

“Di Perak berapa kali bertukar kerajaan kerana lompat parti dan pihak yang melompat juga daripada kami Pakatan Harapan (PH) termasuk parti yang hebat DAP juga ada lompat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, berkata kerajaan yang diwujudkan hasil ‘Langkah Sheraton’ terbukti tidak stabil dan Perdana Menterinya kemudian ditukar dengan yang baharu.

“Sekarang kalau kami mahu Perdana Menteri ini (Ismail) pun boleh ditukar..jika kami mahu, tetapi kami tidak mahu. Kami dah buat perjanjian memorandum persefahaman (MoU) jadilah Perdana Menteri buatlah kebaikan untuk rakyat sehingga pilihan raya akan datang.

“Ini bagaimana sikap terbuka kami. Kalau kami mahu dengan majoriti yang sedikit di pihak sana (kerajaan) kita boleh tawarkan beberapa jawatan kepada mereka jadi datang pula ke sebelah sini. Tetapi kita bukan jenis itu,” katanya.

Menurutnya, PH mematuhi MoU yang ditandatangani dan Perdana Menteri juga setakat ini dilihat setia dengan MoU yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Mohamad turut membangkitkan insiden membabitkan Perdana Menteri yang berlaku ketika lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini membuktikan politik negara tidak stabil.

“Kita sedih mendengar bila Perdana Menteri melawat UAE ada perkara yang tak kena disudut protokol terhadapnya. Perdana Menteri mesti dihormati tidak boleh dibuat begitu semasa berada di Dubai.

“Menteri yang berkenaan mesti bertanggungjawab dalam menjaga hal-hal Malaysia ini. Mungkin tidak ada hormat pada Perdana Menteri ini kerana bukan menang daripada mandat rakyat,” katanya.

Difahamkan lawatan Ismail Sabri ke UAE baru-baru ini tidak mendapat sambutan sebagai Ketua Negara, termasuk tiada sambutan karpet merah dan Perdana Menteri kena buat pemeriksaan pasport sendiri.

Mohamad dengan pindaan Perlembagaan dan penggubalan Akta Anti Lompat Parti kelak semua pihak akan gembira terutama rakyat yang memberi mandat kepada wakil rakyat yang dipilih. – Malaysiapost

Komen