SPRM tahan eksekutif muda, bukan CEO

SPRM tahan eksekutif muda, bukan CEO

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan sembilan individu sejak 8 April lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan isu rasuah berhubung projek di Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB).

SPRM dalam kenyataan, memaklumkan siasatan itu merupakan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Petronas bagi membantu memperkukuhkan integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya turut menjelaskan bahawa seorang daripada sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan tersebut merupakan eksekutif muda di PCSB dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak.

“Manakala lapan lagi individu yang turut ditahan merupakan pemilik dan pegawai kanan syarikat-syarikat kontraktor serta vendor yang menjalankan projek berkaitan isu rasuah tersebut,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan, SPRM menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek milik GLC bernilai lebih RM2.3 bilion.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun itu masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak. – Malaysiapost

Komen