Wan Fayhsal akui hormat usaha Anwar dalam hal ilmiah

Wan Fayhsal akui hormat usaha Anwar dalam hal ilmiah

WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui rasa hormatnya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ilmiah, khusus melibatkan budaya dan Bahasa Melayu sangat tinggi, walaupun berbeza pendirian politik.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, beliau semalam mengucapkan jutaan terima kasih kepada Anwar kerana ketika menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, banyak sekali sumbangannya dalam menerbitkan karya besar pemikir negara melalui kementerian tersebut.

Antaranya, katanya, karya guru Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas “A commentary on the Hujjat al-siddiq of Nur Al-Din Al-Raniri” (1986).

“Begitu juga sekian karya-karya terjemahan lain “Bagaimana Membaca Buku” oleh Adler dan Van Doren oleh @dbpmalaysia terjemahan almarhum Rustan A Sani dengan prakata daripada Pak Syeikh sendiri.

“Malah sewaktu DSAI dalam Kabinet seperti diceritakan tadi (semalam) bersama YB Senator Tan Sri Dr Rais Yatim, mereka perjuangkan penggunaan bahasa baku untuk Bahasa Melayu (yang DSAI juga ubah daripada Bahasa Malaysia).

“Nescaya kata DSAI dan Tan Sri tadi polemik kita dengan Indonesia tidak akan timbul kini!

Kedua-dua tokoh politik ini adalah “men of letters” sesuatu yang semakin nadir kini kerana politik berteraskan idea dan gagasan ilmu semakin dianak tirikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mengajak semua rakyat menyokong dasar kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu di dalam dan luar negara.

Terdahulu beliau bertemu Anwar dan Rais pada najlis berbuka puasa dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. – Malaysiapost

Komen