11 anak iringi Md Nor ke dewan bedah

11 anak iringi Md Nor ke dewan bedah

BAPA kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Berkongsi mengenainya, Muhammad Sanusi berkata 11 daripada 13 adik-beradiknya hadir di hospital berkenaan pagi ini bagi mengiringi bapa mereka, Md Nor Taib sebelum masuk ke dewan bedah.

“Pagi ini mak dan anak-anak hadir ke hospital bertemu mata, memberi semangat dan mendoakan Pak selamat menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Daripada 13 orang anak mak dan pak, 11 orang dapat hadir mengirim pak ke dewan bedah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pakar perubatan dan pembantu dalam pelbagai disiplin daripada pelbagai jabatan diketuai Abu Yamin Khamis yang terlibat dalam prosedur pagi ini.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik dan tugas mulia kalian menyelamatkan nyawa insan lain. Semoga pak selamat melalui ujian besar ini dalam hidupnya,” katanya lagi.

Terdahulu Md Nor dimasukkan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 5 April lalu.

Beliau kemudian dipindahkan ke HPP pada 9 April dan ditempatkan di Jabatan Kardiotorasik untuk menjalani beberapa prosedur sebelum pembedahan. – Malaysiapost

Komen