Audio tular: Wisma Putra lakukan siasatan dalam

Audio tular: Wisma Putra lakukan siasatan dalam

WISMA Putra menjalankan siasatan dalaman berhubung audio tular rakaman suara seorang lelaki kepada individu bergelar ‘Datin’ melibatkan Kementerian Luar Negeri.

Audio itu dipercayai merujuk isu dua diplomat tertinggi ‘direhatkan’ berhubung lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan pihaknya memandang serius tuduhan tidak berasas yang mengaitkan kementerian itu.

“Sehubungan itu, satu laporan polis juga telah dibuat demi melindungi kepentingan dan imej Kementerian Luar Negeri,” kata kenyataan itu.

Audio berdurasi 2.15 saat tular di media sosial, berkenaan mesej seorang lelaki kepada seorang ‘Datin’ yang dipercayai seorang pegawai tertinggi Wisma Putra menyatakan permasalahan dalaman kementerian itu.

Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan bahawa langkah memanggil pulang duta besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan konsul jeneral Malaysia di Dubai adalah disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Ismail ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Dua pegawai kanan terbabit gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri seperti yang sepatutnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tertinggi negara di luar negara terutama semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac.

Kegagalan itu termasuk menyebabkan Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh imigresen Dubai selain tiadanya liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP. – Malaysiapost

Foto Kredit: kln.gov.my

Komen