Azmin, Muhyiddin susun strategi kuatkan Bersatu

Azmin, Muhyiddin susun strategi kuatkan Bersatu

BERSATU kini dalam usaha menggilap idelisme perjuangan serta menyusun strategi bagi memperkuat lagi kedudukan parti itu.

Usaha itu dilakukan menerusi perbincangan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Menurut Mohamed Azmin, perbincangan hampir dua jam itu berlangsung di Parlimen sejurus Muhyiddin membentangkan perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami membincangkan usaha-usaha untuk menggilap idealisma perjuangan dan menyusun langkah strategik bagi membina kekuatan parti di semua peringkat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pertemuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Sementara itu Mohamed Azmin berkata, perbahasan Muhyiddin semalam sarat dengan hujah yang mantap bagi memperkukuhkan amalan demokrasi di negara ini.

Semalam Muhyiddin ketika perbahasannya berkata pindaan Perlembagaan yang bagi membolehkan RUU menghalang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lompat parti, mesti dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati.

Ahli Parlimen Pagoh itu menzahirkan kebimbangan pindaan itu akan menyekat kebebasan wakil rakyat bersuara menentang pemimpin parti yang salah.

Justeru katanya, sekiranya pindaan Perkara 10 Perlembagaan dibuat, beliau mencadangkan agar ‘ouster clause’ (klausa penyingkiran) dalam Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula.

Ini untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan RUU Anti Lompat Parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya. – Malaysiapost

Komen