‘Bersatu projek politik yang gagal’ – Khaled Nordin

‘Bersatu projek politik yang gagal’ – Khaled Nordin

BERSATU adalah projek politik yang gagal dan tidak akan membawa bangsa Melayu kemana-mana untuk selama-lamanya, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, sebab utama kegagalan parti itu adalah kerana Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai ‘conviction’ terhadap apa yang beliau utarakan.

“Akhirnya, secara nyata, beliau hanya ingin kuasa, bukan kesanggupan untuk perjuangan yang panjang dan suci untuk orang Melayu dan tanahair,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Muhyiddin kerap kali mengulangi kenyataan bahawa Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan Umno.

Katanya, cita-cita Bersatu pada Muhyiddin ialah memberikan orang Melayu sebuah parti yang bebas dari rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.

“Bagi beliau, Bersatu adalah alternatif yang lebih baik, dipandu nilai dan mempraktikan kepimpinan bermoral.

“Namun hingga saat ini, kita tidak melihat kelainan yang ditawarkan Bersatu. Tiada ideologi yang tuntas. Tiada rencana yang luar biasa untuk bangsa dan negara.

“Dan tiada kepimpinan yang mempersonakan baik dari segi ketokohan, idea mahupun ‘conviction’,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, apabila Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibincangkan Jemaah Menteri, kedengaran bahawa Menteri Bersatu adalah yang paling lantang mengkritik cadangan kerajaan.

“Kononnya demi sebuah ketelitian dan penambahbaikan. Tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar ialah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut.

“Merekalah punca utama keperluan RUU tersebut di usulkan untuk dijadikan undang-undang.

“Daripada 39 Ahli Parlimen yang melompat, 26 telah menyertai Bersatu, dilantik menjadi Menteri dan mengurus negara ini,” katanya.

Mohamed Khaled turut mempersoalkan adakah orang Melayu akan merasa yakin dengan kualiti, pemikiran dan ‘conviction’ pemimpin lapisan kedua Bersatu.

“Lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan Kementerian mereka, menyantuni rakyat dan pelbagai dasar yang mereka perkenalkan.

“Semuanya menjurus kepada ‘a serious neglect of duty dan failed leadership’. Mengungkap idea besar dan cita-cita besar itu sangat mudah.

“Akhirnya ideals dengan kerja nyata itu adalah sangat sukar untuk diterjemahkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen