Hans, Altimet tawar diri tanding Ketua PKR Bahagian Ampang

Hans, Altimet tawar diri tanding Ketua PKR Bahagian Ampang

PEMILIHAN PKR kali ini diwarnai dengan penyertaan beberapa selebriti tempatan yang turut mengambil bahagian merebut jawatan di peringkat cabang serta ketua bahagian.

Selepas pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa semalam, turut mengikut jejaknya adalah pelakon Hans Isaac dan penyanyi rap Altimet.

Difahamkan, kedua-dua selebriti itu telah mendaftar untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian Ampang, serta dijangka berdepan enam yang lain termasuk penyandang, Mohd Kamri Kamaruddin.

Untuk rekod, kerusi Ketua Bahagian Ampang sebelum ini disandang Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar parti dan menyertai Bersatu.

Lima lagi calon yang bertanding jawatan itu ialah Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, Abdul Halim Mohamed Yusof, Daing Muhammad Reduan Bachok dan Abdul Latif Shaari.

Bagaimanapun, senarai itu belum muktamad, kerana tempoh penamaan calon pemilihan PKR hanya dijadualkan berakhir tengah malam ini.

Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu bersama Afdlin.

Zuraida memenangi jawatan ketua bahagian PKR Ampang tanpa bertanding dalam pemilihan 2018. Beliau juga memenangi jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan yang sama.

Selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Zuraida meninggalkan PKR pada 2020 selepas turut sama terlibat dalam ‘Langkah Sheraton’.

Lebih 1.2 juta ahli parti layak mengundi secara dalam talian atau fizikal pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung dari 13 Mei hingga 18 Mei ini.

PKR mengambil langkah berani mengikut jejak langkah rakan gabungan dalam PH, DAP untuk mengadakan pemilihan parti bulan depan. – Malaysiapost

Komen