Nurul Izzah umum tidak bertanding pemilihan PKR

Nurul Izzah umum tidak bertanding pemilihan PKR

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengesahkan tidak akan bertanding bagi merebut enam jawatan tertinggi dalam pemilihan PKR kali ini.

Bekas Naib Presiden PKR itu, berkata walaupun tidak bertanding merebut sebarang jawatan dalam pemilihan parti kali ini, beliau sebaliknya akan memberi tumpuan membantu parti menarik pengundi atas pagar.

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.

“Meski, saya tidak terlihat di dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan. Moga-moga PKR mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.

“Berikan saya ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya. Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban lalu menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara,” katanya menerusi Facebook.

Nurul Izzah turut mengulangi penjelasan keputusan beliau meletak jawatan pada 2018 antara lain kecewa dengan pengkhianatan dalaman yang berlaku dalam PKR.

“Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan kepada bahang khianat yang jelas dirasakan sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku,” katanya.

Nurul Izzah berkata, peletakan jawatan tersebut bukanlah titik noktah akhir perjuangan di dalam parti, sebaliknya ianya merupakan langkah introspeksi.

“Ia mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi,” katanya.

Dalam pada itu, Nuru Izzah mengingatkan ahli dan pemimpin PKR bahawa musuh parti itu kian mara serta cabaran masih belum berakhir.

“Wadah politik semata tidak semestinya mampu meraih dokongan rakyat yang tercalar teruk selepas sekumpulan besar Ahli Parlimen PKR mengkhianati kita lalu mendakap organisasi lain yang menawar habuan, pangkat serta laba,” katanya.

Pada 2018, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang. – Malaysiapost

Komen